MEASAT telah dimulakan pada tahun 1992 yang lepas, dengan satelit
pertama dilancarkan olehnya pada tahun 1996. Kini, selang beberapa
tahun, MEASAT telah pun melancarkan satelit terbesar dan berkuasa lebih
10 kali ganda berbanding satelit pertama yang telah dilancarkan pada
tahun 1996, dinamakan sebagai Measat-3B.
Measat-3B ini telah dilancarkan secara rasmi pada hari ini, 12
September pada pukul 6.05 pagi. Satelit ini membawakan nilai pelaburan
sehingga RM1.1 bilion untuk pembangunannya, serta sekaligus membawakan
fasa baru untuk dunia telekomunikasi dan komunikasi di Malaysia.
Bagi yang tidak mengenali akan satelit Measat, ia menawarkan sokongan
telekomunikasi, dan pada masa yang sama mempertingkatkan industri
komunikasi serantau. Measat sendiri sedia mempunyai beberapa pelanggan
ternama, termasuk Astro, Telekom Malaysia, Maxis, TV3, RTM dan
sebagainya.
Measat-3B ini dilihat turut memfokuskan kepada penawaran video pada
kualiti yang lebih tinggi, sekaligus membolehkan penawaran video pada
kualiti HD – dan perkara ini juga dijangka akan menyumbang kepada pihak
Astro dan penyedia televisyen yang lain dalam penawaran siaran mereka.
Dari segi kawasan liputan, Measat-3B ini akan meliputi komunikasi
satelit sekitar Malaysia, Indonesia, India dan juga Autralia. Satelit
ini dikatakan mampu beroperasi sehingga lebih 15 tahun.
Dengan pelancaran Measat-3B ini, pihak Measat dilihat mempunyai
perancangan untuk dua lagi satelit Measat sebelum tahun 2020 yang mana
disasarkan kepada syarikat telekomunikasi dan juga jalur-lebar.